Proton Saga FL, Saga versi terbaru dari Proton ada dalam dua varian iaitu Standard dan Executive bagi menggantikan varian sebelumnya iaitu N-line, B-line dan M-line. Sejak mula diperkenalkan pada tahun 2008 yang lalu, model Saga berjaya menjadi kereta keluaran Proton yang paling laris. Purata jumlah jualan yang telah dicatatkan oleh sedan kecil lagi kompak tersebut sebanyak 6,200 sebulan ketika ini, jatuh ditangga kedua selepas model terlaris Perodua, iaitu Perodua Myvi. Terdapat banyak faktor yang memungkinkan Saga menjadi model terlaris Proton, salah satu faktor utama ialah harganya yang berada di bawah paras RM50k, mampu dicapai oleh kebanyakan rakyat Malaysia dari semua golongan.
Proton Saga, yang sebelumnya popular dengan panggilan Saga BLM, amat popular dikalangan generasi muda. Pelbagai gaya dan pengubahsuaian telah dilakukan terhadap model itu, termasuk dimodifikasi semula rupa bentuknya mengikut beberapa jenama kereta terkenal dari Eropah dan Jepun. Tidak dinafikan yang model Saga begitu versatile dan sesuai kepada semua golongan. Proton Saga boleh dikatakan sebuah model yang lengkap untuk kegunaan seisi keluarga, termasuk memiliki ruang yang luas untuk penumpang dan tempat penyimpanan barang-barang. Walaupun terdapat model kompak lain yang berharga di paras sama dengan Saga, kebanyakannya bersaiz lebih kecil dengan ruang bonet yang terhad.
Model Saga FL menerima beberapa perubahan yang agak radikal dibahagian luaran dan dalamannya. Walau hanya sekali imbas sudah boleh dilihat perubahan luaran yang ketara berbanding model sebelumnya. Bampar depan dan belakang kini direka dengan lebih bergaya dan sporty, tidak keterluan jika dikatakan lebih dinamik, garang dan maskulin daripada generasi sebelumnya. Lampu utama depan paling mencipta kejutan kerana bentuknya yang berubah begitu ekstrem, namun kekal sporty dan mendapat pujian dari peminat Proton. Malah ada yang mengatakan lampu depan itu mengambil inspirasi daripada lampu Honda Accord generasi terkini, pendapat yang boleh diterima.
Antara beberapa perubahan lain dibahagian luaran ialah fender tepi direka semula bagi diserasikan dengan lampu utama, gril depan baru, hud yang lebih teguh kelihatannya, cermin sisi dilengkapi lampu indikator untuk membelok, lampu belakang lebih kecil dengan penggunaan LED, pemantul cahaya di bampar belakang dan tip muffler ekzos dengan kemasan krom. Varian Executive tersedia lampu kabus, spoiler kecil dibelakang bonet dan cermin sisi dengan kawalan eletrik. Roda juga kini berwajah baru dan lebih sporty apabila varian Standard dilengkapi rim besi bersaiz 13 inci dengan tayar bersaiz 175/70 dan varian Executive dengan roda aloi bersaiz 14 inci dengan tayar dari siri 185/60.
Selain lampu utama yang pantas menarik perhatian, lampu indikator di cermin sisi dan lampu belakang LED merupakan beberapa perubahan penting yang sebelumnya tiada pada Saga versi lama. Perubahan tersebut walaupun kecil tetapi telah berjaya melonjakkan nilai Saga FL ke taraf yang baru, bermakna ianya kini setara dengan model lain yang berharga lebih mahal.
Perubahan yang dilakukan terhadap Saga FL bukan setakat terhad di bahagian luaran sahaja, malah di bahagian dalaman juga tidak kurang hebatnya apabila mendapat sentuhan terbaru dengan beberapa fungsi dan ciri-ciri yang lebih praktikal. Bagi model Saga terdahulu, hanya pintu depan sahaja dilengkapi cermin tingkap berkuasa manakala pintu belakang masih menggunakan tuil yang perlu dipusing untuk menurunkan cermin, salah satu faktor kenapa ramai yang memilih Myvi. Tetapi kini keempat-empat pintu telah dilengkapi cermin tingkap berkuasa, dengan kesemua suis kawalan diletakkan di panel pintu bersebelahan pemandu.
Bagi varian Executive, Saga FL dilengkapi beberapa ciri baru seperti kerusi pemandu dengan ketinggian boleh ubah, beg udara SRS untuk pemandu dan penumpang depan, unit audio utama dari Clarion dengan USB dan AUX, pemain MP3/WMA dan suis kawalan audio di roda stereng, benar-benar menyerlahkan ciri-ciri eksekutifnya. Kemasan kerusi dengan fabrik baru menceriakan lagi bahagian dalaman model itu. Boleh dikatakan Saga FL kini merupakan sebuah sedan yang lengkap lagi praktikal setelah ditambah banyak ciri-ciri baru dan setanding dengan pesaingnya yang lain di pasaran.
Saga FL masih dilengkapi enjin yang sama seperti sebelumnya iaitu enjin 1.3 liter CamPro IAFM, 4 Silinder, DOHC 16 valve dengan kuasa kuda sebanyak 94hp dan tork 120Nm. Kedua-dua varian Standard dan Executive dilengkapi kotak gear manual 5 kelajuan dan automatik 4 kelajuan. Paling menarik sudah tentu harganya apabila model Saga facelift terbaru ini yang padat dengan nilai belian terbaik masih kekal dengan harga yang kompetetif. Perbezaan hanya berlegar antara RM1000.00 sehingga RM1,300.00 berbanding Saga lama, Saga FL ditawarkan pada harga seperti berikut ;
Model | Saga | Saga FL | Price difference |
1.3 Standard (B) MT | RM 36,998 | RM 37,998 | RM 1,000 |
1.3 Standard (B) AT | RM 39,998 | RM 40,998 | RM 1,000 |
1.3 Executive (E) MT | RM 39,498 | RM 40,698 | RM 1,200 |
1.3 Executive (E) AT | RM 41,998 | RM 43,298 | RM 1,300 |
Senarai harga Proton Saga FL dan perbandingan harga dengan Proton Saga versi sebelumnya.
Proton Saga FL tersedia dalam enam warna menarik termasuk dua warna baru iaitu Blue Rock dan Café Latte yang menawan. Warna lain ialah Tranquility Black, Solid White, Genetic Silver dan Granite Grey. Bayaran tempahan yang dikenakan sebanyak RM500.00 dan semua pelanggan sudah boleh melihat model ini dengan lebih dekat di kesemua bilik pameran Proton Edar di seluruh negara. Untuk pelanggan di Labuan, mereka hanya boleh melihat model ini bermula 17 Disember 2010.
Bagi pelanggan yang telah menempah Saga versi sebelumnya, mereka boleh menampah kembali model terbaru ini dengan menambah perbezaan nilai harga bagi model terbaru itu. Saga FL didatangkan dengan waranti pengeluar selama 3 tahun atau sehingga perbatuan mencapai jarak 100,000km, yang mana lebih awal.
Dengan pelancaran Proton Saga FL hari ini, mulai tahun 2011 pasaran akan sekali lagi menanti untuk melihat kemampuan model Saga terbaru ini mendominasi pasaran. Berbanding sebelumnya, Saga FL diramalkan mampu menduduki carta pertama jualan kereta nasional terlaris. Tidak ada sebab lagi pelanggan yang bakal membeli kereta baru akan berfikir sehingga beberapa kali antara Saga FL atau sebuah Perodua Myvi.
Dengan harga yang cukup berbaloi dan menarik, sukar untuk menolak godaan memiliki sebuah Saga FL. Faktor yang cukup kuat sudah tentunya hakikat sebenar bahawa Saga FL adalah sebuah sedan dengan ruang penumpang dan tempat penyimpanan barang-barang yang luas. Proton Saga FL adalah kereta rakyat sebenar, jadi apa lagi alasan untuk tidak memilikinya?
p/s : Proton Saga FL edisi Special Edition (SE) akan menjelma di tahun 2011 nanti. Adakah Saga FL versi R3 juga akan membuat kemunculan? Sama-sama kita nantikan legasi Proton Saga FL.
No comments:
Post a Comment